DISEMBER 2021

Pindaan RUU Perlembagaan MA63 Dilulus


KUALA LUMPUR: Pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dibentangkan hari ini telah diluluskan di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara tanpa sebarang bantahan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pindaan yang diluluskan merupakan langkah pertama bagi merealisasikan perjuangan Sarawak termasuk Sabah untuk mendapatkan hak-hak yang terhakis sebelum ini. 

“RUU ini dapat mengembalikan kedaulatan dan hak negeri Sarawak dan Sabah dengan pengiktirafan MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pindaan ini turut memberi pengiktirafan kepada MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan yang mana sebelum ini tiada rujukan dibuat Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Santubong itu lagi, pindaan ini juga membolehkan pentafsiran definisi 'ras asli' ditentukan oleh Kerajaan Negeri Sarawak melalui undang-undang Negeri secara mutlak. 

Tambahnya, pindaan ini juga memberi pengiktirafan kepada “Hari Malaysia” yang mana ia telah dimasukkan ke dalam tafsiran Perlembagaan Persekutuan.

Sumber dari : Jiwa Bakti